Orkid (Amyra Rosli) terperangkap dalam perkahwinan yang penuh dengan derita bersama Nasir (Dato’ Adi Putra), suami yang tampak sempurna di luar, namun menyeksa jiwa di dalam rumah. Apabila Nasir lumpuh akibat sakit, Orkid membuat keputusan yang mengejutkan. Dia mahu bercerai!
Anak sulung mereka, Nazman, menuduh Orkid curang dan mementingkan diri, manakala Sara dan Noreen mula mengesyaki ada rahsia yang disembunyikan ibu mereka. Ketika Orkid menghilang untuk mencari semula jati diri dan impian yang terpendam, barulah keluarga sedar betapa sukarnya hidup bersama Nasir.
Kepulangan Orkid dengan permintaan cerai membuka lebih banyak luka lama. Dalam kekalutan itu, muncul Arif, lelaki dari masa silam bersama isterinya Rozi, membawa rahsia yang mampu meruntuhkan seluruh keluarga. Apakah Orkid akan terus memperjuangkan kebebasannya, atau dikuburkan sekali lagi oleh masa lalu?

